
Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu darinya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam yang sememangnya digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.
Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelusuk negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang seperti falsafah, kalam, fuqaha dan batiniah serta mengkaji kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Begitu juga dengan ulama-ulama lain yang terkenal sehinggi kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil dari pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi. Malahan, Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelusuk negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya.
Firman Allah melalui surah al-Hajj, ayat 46, yang bermaksud;
"Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada."
Jelas, mengembara dan merantau memang digalakkan dalam Islam sejak dahulu yang bertujuan menimba ilmu dan memperkaya pengalaman serta memperbaiki diri untuk menjalani kehidupan.
Mengembara dan merantau pada masa kini lebih ditafsir sebagai melancong. Konsepnya tetap sama. Seseorang akan keluar dari tempatnya untuk menuju ke satu tempat yang lain sama ada diketahui lokasinya atau tidak yang mempunyai tujuan yang pelbagai seperti keinginan untuk menambah ilmu pengetahuan, mempelajari budaya bangsa lain, memperkaya pengalaman, dan mengenali hal-hal yang baru di tempat lain.
Aktiviti pelancongan yang biasa dijalankan ialah melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah, menyaksikan acara kebudayaan bangsa lain, membeli barangan atau produk yang unik yang tidak terdapat di negara sendiri dan melakukan aktiviti ibadah seperti mengerjakan haji dan umrah serta ibadah yang lain bagi umat Islam. Dan kini, pelancongan berasaskan ibadah menjadi popular dan menarik untuk diketengahkan kepada pelancong tidak mengira bangsa dan agama.
Pelancongan ibadah atau pelancongan keagamaan yang begitu popular pada masa kini turut dirasai oleh Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkenal dan kini merupakan satu-satunya negara Islam dan negara kedua dari Asia yang berada dalam kelompok 13 teratas senarai destinasi popular dunia. Hal ini dinyatakan melalui Pertubuhan Pelancongan Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UMWTO) pada tahun 2004.
Dengan potensi pasaran daripada lebih 50 buah negara Islam yang melibatkan sejumlah tidak kurang 1.5 bilion umat Islam, Malaysia mula bertindak aktif dengan memenuhi keperluan bagi kemudahan dan daya tarikan pelancong dari pelbagai negara dan pelbagai agama. Kelebihan sebagai negara Islam yang maju, berbilang bangsa dan agama serta aman menjadikan Malaysia boleh dikunjungi pada bila-bila masa dengan tarikan yang tersendiri termasuklah kebudayaan dan perayaan yang agak banyak dalam setahun.
Statistik terkini menunjukkan pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia pada enam bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 2.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu dari 10,690,426 kepada 10,963,120 orang, menurut Pelancongan Malaysia.
Manakala bilangan pelancong asing yang melawat Malaysia pada Jun tahun ini bertambah sebanyak 8.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu daripada 1,803,594 kepada 1,961,355 orang yang datang dari pelbagai negara seperti Eropah, Jepun, Korea Selatan, Singapura, china dan Timur Tengah.
Keupayaan ini memberi keyakinan kepada Malaysia untuk memperkenalkan pelancongan Islam sebagai produk yang boleh memberi banyak manfaat kepada Malaysia. Antara produk yang akan di hidangkan kepada pelancong ialah masjid-masjid di Malaysia sebagai sebuah binaan Islam yang menarik, indah dan mengagumkan.
Masjid sebagai destinasi pelancongan merupakan satu produk yang boleh dibanggakan dengan keindahan binaannya, mimbar, mihrab, hiasan dalaman, tempat wudhu’, kemerduan suara muazzin, dan juga aktiviti yang dilaksanakan di dalam masjid seperti solat jemaah, aktiviti fardhu ain dan fardhu kifayah, kelas mengaji dan sebagainya.
Antara masjid yang dikenalpasti dapat menarik tumpuan pelancong pula ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah, Masjid Kristal di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan, Masjid Ulu Melaka dan banyak lagi.
Namun, sebelum menjadikan masjid sebagai satu produk pelancongan, terlebih dahulu kita harus bersedia dari aspek pengurusan masjid agar kesuciannya tidak tercemar dengan kunjungan pelancong sama ada Islam atau bukan Islam. Pengurusan yang dimaksudkan ialah merangkumi waktu lawatan agar tidak bersesak dengan umat Islam yang mahu menunaikan solat terutama solat jumaat, menjaga aurat mereka, suara dan sebagainya. Organisasi pengurusan masjid juga haruslah cekap dan teratur. Kebersihan masjid harus dijaga.
Dalam usaha memperlihatkan masjid sebagai pusat pertemuan, interaksi sosial dan ikatan ukhuwah umat Islam, masjid juga harus diimarahkan dengan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti kelas agama, kenduri doa selamat dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh masyarakat minoriti Islam di luar negara yang menjadikan masjid sebagai tempat pertemuan sosial sesama umat Islam dan bertindak sebagai pemantau media yang bertanggungjawab memberi maklumbalas atas apa-apa kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak bukan Islam. Masjid juga dijadikan kawasan riadah untuk keluarga, melakukan aktiviti sukaneka, perkhemahan, menganjurkan pameran tahunan, membina perpustakaan di dalam masjid dan sebagainya.
Hal ini, mungkin mampu dilaksanakan oleh Malaysia memandangkan Malaysia sebuah negara Islam yang maju dan berkeupayaan menyediakan kemudahan serta prasarana yang baik untuk menggamit kehadiran pelancong ke Malaysia. Hal itu jelas dengan pembinaan masjid yang menelan belanja yang besar, hotel-hotel yang bertaraf dunia, pulau-pulau yang indah yang dibangunkan dengan pesat, dan sebagainya. Pendek kata, slogan ‘semua ada di sini’ yang merujuk segala-galanya ada di Malaysia adalah tepat dan tidak perlu disangkal lagi.
Namun, persoalan pelancongan bukan menjurus kepada lawatan ke tempat- tempat menarik sahaja. Pelancongan juga bukan sekadar melihat bangunan-bangunan yang cantik dan gah. Pelancongan lebih daripada itu.
Merujuk kepada konsep pelancongan, merantau, mengembara dan bermusafir dalam Islam itu sendiri bermaksud mempelajari sesuatu yang baru, memperkaya pengalaman dan ilmu pengetahuan serta mempelajari budaya luar untuk kefahaman diri tentang kehidupan yang luas ini.
Secara realitinya, pelancong yang datang ke Malaysia bukan sahaja mahu melihat bangunan-bangunan yang cantik serta tempat-tempat yang menarik yang sudah pasti tiada di tempat mereka. Malahan mereka juga mahu mengenali budaya Islam yang terdapat di Malaysia memandangkan Malaysia sebuah negara Islam yang maju dan mampu dihuni oleh pelbagai manusia berlatarbelakang bangsa dan agama yang berbeza.
Hal ini secara tidak langsung melambangkan Islam sebagai agama yang tidak menolak kemajuan malahan pandangan seperti ini mampu menolak anggapan Islam sebagai agama yang mundur, ganas dan menakutkan.
Oleh hal yang demikian, selain menjadikan masjid sebagai produk pelancongan Islam, kita juga boleh memperkenalkan budaya dan adat resam yang bersalingkait dengan Islam. Malahan, produk pelancongan yang berasaskan aktiviti dan budaya yang melingkungi masyarakat Islam di sini, merupakan produk pelancongan yang akan kekal dalam fikiran pelancong. Mengenali Malaysia bukan sahaja melalui pemandangan lanskapnya malahan budaya dan masyarakatnya.
Aktiviti masyarakat Islam yang mempunyai potensi yang besar untuk dijadikan sebagai produk pelancongan Islam ialah majlis perkahwinan, majlis khatan, kenduri kendara yang kecil atau besar, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan AidilAdha, majlis korban, khatam al-Quran, majlis Aqiqah, majlis berbuka puasa dan bersahur, sambutan Maulidur Rasul, tadarus al-Quran, majlis pertabalan Yang dipertuan Agong dan majlis-majlis yang berkaitan dengan kesultanan Melayu dan banyak lagi.
Aktiviti begini bukan sahaja dapat memperlihatkan keindahan Islam dan perlakuan-perlakuan penganutnya kepada pelancong asing malahan dapat menyemai semula kecintaan kepada Islam untuk masyarakat Islam di Malaysia yang semakin lupa kepada asas agama Islam itu sendiri.
Contohnya, majlis perkahwinan dalam Islam yang sudah pasti berbeza dengan majlis perkahwinan agama-agama lain. Kesucian silaturrahim dan kemurnian hubungan antara lelaki dan wanita sebelum dan selepas diijabkabulkan mampu diterjemah dalam bentuk majlis perkahwinan orang Melayu dan Islam yang sebenar-benarnya. Paparkan kepada mereka adat meminang yang kaya dengan nilai kesopanan oleh seorang lelaki yang ingin memiliki seorang wanita.
Perlakuan-perlakuan masyarakat Islam juga boleh difahami melalui paparan majlis perkahwinan yang dipenuhi aktiviti seperti bacaan Marbahan, khatam al-Quran, dan sebagainya yang menunjukkan kebergantungan masyarakat terhadap keberkatan dan rahmat dari tuhan untuk majlis yang mereka raikan itu. Tidak terlupakan pemberian bunga telur kepada tetamu dan suasana gotong royong atau rewang yang menjadi pengikat silaturrahim dan pertemuan sosial sesama masyarakat Islam yang terbentuk melalui majlis perkahwinan ini.
Selain itu, peralatan perkahwinan seperti alat menepung tawar dan merenjis bunga mawar yang kalaupun bukan diadakan berlandaskan agama, masih mampu memegang tanggungjawab sebagai satu ciri tradisional masyarakat Melayu. Pakaian yang dikenakan pengantin yang menutup aurat, perhiasan dan lain-lain lagi juga boleh menimbulkan suasana uniknya perkahwinan masyarakat Islam.
Jika di Johor pula, kita diperkenalkan dengan bacaan Ikrar Sakinah oleh pasangan pengantin dan ibu bapa mereka sebagai tanda perjanjian perkahwinan secara lisan yang menunjukkan bahawa Islam juga memandang tinggi kepada janji dan ikrar seseorang yang harus dilaksanakan sesudah dilafazkan. Bacaan Ikrar Sakinah yang hanya terdapat di negeri Johor boleh dijadikan satu daya penarik yang kuat terhadap perkahwinan Islam, di samping acara-acara adat dan budaya yang lain yang mengiringi majlis perkahwinan masyarakat Islam.
Selain majlis perkahwinan masyarakat Islam, terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh dipaparkan kepada pelancong seperti majlis Khatan. Khatan atau bersunat yang sinonim dengan masyarakat Islam boleh dijadikan produk pelancongan Islam yang baik memandangkan berkhatan juga sudah mula diterima oleh masyarakat bukan Islam atas dasar kesihatan.
Begitu juga dengan sambutan di bulan puasa, sambutan Hari Raya dan juga aktiviti korban yang sememangnya tidak ditemui di negara-negara Islam yang lainnya. Sambutan ini memaparkan unsur berkorban, menahan hawa nafsu dan bagaimana masyarakat Islam meraikan kemenangan dengan sambutan hari raya yang seterusnya memaparkan unsur-unsur kerjasama, silaturrahim, sanggup berkorban menahan hawa nafsu dan lapar dahaga demi Islam yang tercinta.
Usaha beberapa pihak terutamanya kerajaan dalam memperkenalkan program-program bermusim yang bercirikan Islam juga boleh diambil kira sebagai salah satu pakej produk pelancongan seperti Perkampungan Islam Hadhari yang memuatkan pelbagai program keilmuan, kemasyarakatan, kesenian Islam dan banyak lagi.
Selain itu, negara kita juga mula diperhati masyarakat antarabangsa kerana berjaya menganjurkan acara-acara yang besar seperti Pameran Makanan Halal Sedunia (MIHAS), Festival Busana Islam, Festival Muzik Islam dan banyak lagi.
Sebenarnya, banyak lagi aktiviti keagamaan dan kebudayaan masyarakat Islam yang boleh diperkenalkan kepada pelancong dengan tujuan memaparkan keindahan Islam yang sebenar-benarnya kepada mereka. Dengan bertujuan mengajak mereka berkongsi kemakmuran Malaysia di bawah pemerintahan Islam, kita turut berdakwah kepada masyarakat Islam yang lainnya yang semakin lupa aktiviti keagamaan ini wujud di sekeliling mereka.
Pelancongan Islam berlandaskan aktiviti masyarakatnya juga boleh dijadikan landasan yang baik untuk membuktikan perpaduan, keharmonian, keamanan dan saling menghormati sesama manusia seperti yang dituntut oleh agama Islam sendiri. Ini seterusnya menolak prejudis masyarakat luar terhadap Islam yang di dakwa penuh dengan keganasan serta menolak kemajuan.
Tidak terlupakan sambutan kita sebagai individu terhadap pelancong dengan memaparkan nilai-nilai yang baik sebagai orang Islam seperti ramah, mesra, bantu-membantu, mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya yang bukan sahaja menunjukkan Islam itu indah tetapi juga boleh menjadi misi dakwah kepada mereka yang berminat mengenali Islam dengan lebih dekat. Oleh itu, pelancongan Islam amat relevan dalam memperkenalkan Islam dan harus diberi perhatian yang serius dari aspek pelaksanaannya.